All News

JUJUR DENGAN KERJA UNTUK BERJAYA

Image

UUM ONLINE: "Contohi rakyat Jepun yang mempunyai nilai kesungguhan dalam usaha memperbaiki diri sendiri dan organisasi untuk berjaya," demikian ucapan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada Majlis Penyampaian Sijil Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2022 Kategori UUM dan Sijil Akreditasi Penuh Program Akademik di Bilik Mesyuarat Senat, pagi tadi.

Beliau turut menekankan sekiranya ingin berjaya harus mempunyai komitmen dan disiplin untuk meningkatkan kualiti diri, malah perlu jujur dengan kerja yang dilakukan.

Haim Hilman berkata, jangan bekerja tanpa ada kesungguhan untuk baiki keadaan sedia ada menjadi lebih baik.

"Saya mahu setiap hari kita bagi yang terbaik dan lebih baik dari semalam. Jawatan tidak penting tetapi amanah diberikan kepada kita ini kelak yang akan dihitung di akhirat nanti.

"Janganlah kita menjadi seorang yang gagal. Apa yang dilakukan pada hari ini adalah untuk diri sendiri, untuk kita baiki unit, seksyen, jabatan, pusat pengajian, universiti dan juga masa depan bangsa dan negara," ujarnya.

Beliau berkata, KIK yang dianjurkan itu bukan bersifat tahunan semata-mata atas memenuhi keperluan penganjuran program.

Malah, semua jabatan mesti mengambil bahagian dalam KIK atau sekurang-kurangnya berusaha mempunyai inovasi di tempat kerja sendiri.

"Go for simple innovation and improvise. Kita ingin memberi ruang kepada semua untuk berusaha memberi penambahbaikan kepada kualiti kerja, kemudian kita berikan pengiktirafan sewajarnya.

"Kualiti perkhidmatan kita juga perlu berada dalam tahap terbaik dan kena ada integriti, baru kita boleh berjaya," katanya lagi.

Pada majlis itu, Naib Canselor telah menyampaikan sijil kemenangan kepada johan KIK Kategori UUM iaitu Kumpulan CJ9 dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) dengan projek bertajuk 'MetRe (Meter Reading) Apps’, diikuti naib johan oleh Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dengan projek bertajuk 'IU2E: Intelligent University Expert Explorer' dan tempat ketiga oleh Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dengan projek bertajuk 'MyIPIZGrant'.

Semua kumpulan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil penyertaan.

Ketua Kumpulan CJ9, Mohamad Hafiz Ismail berkata, MetRe direka bentuk mengikut analisis permasalahan semasa bagi kegunaan staf pembaca meter elektrik dan air JPP dalam melakukan tugasan bacaan meter dengan lebih efektif dan cepat.

Menurutnya, aplikasi tersebut mula dibangunkan pada Februari lalu bagi menambah baik kaedah manual yang digunakan sebelum ini.

Turut disampaikan sijil penghargaan dan plak bagi Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik Bidang Inovasi Sosial kepada Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dengan projek bertajuk 'Smart Energy Base on Solar Hand Sanitizer'.

Selain itu, tiga program pengajian UUM berjaya mendapat perakuan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu Sarjana Sains Pengajian Multimedia (SMMTC), Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) (TISSA UUM) dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat) (SOC).