All News

PROGRAM KUNJUNGAN KASIH KE PUSAT JAGAAN AMAL DAERAH YAN

Image

SOG ONLINE : Berdasarkan International Classification of Functioning, Disablity and Health (ICF), kurang upaya merujuk kepada limitasi aktiviti serta penyertaan yang berkait dengan kepincangan tubuh (WHO 2014). Ia sama ada secara menyeluruh atau separuh yang menghalangnya daripada memenuhi keperluan sosial, komuniti serta persekitaran (Social Development in Asia and the Pacific 2003). Kanak-kanak kurang upaya dan penjaga berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan harian. Namun yang menjadikannya lebih sukar, majoriti dari kanak-kanak ini tidak memahami apa yang berlaku kepada mereka dan mengapa mereka berbeza daripada kanak-kanak lain. Status kurang upaya lazimnya memberi cabaran kepada kehidupan seharian, dalam aspek fizikal dan juga emosi. Keadaan kurang upaya juga menghadkan penyertaan mereka dalam masyarakat. Ini biasanya mewujudkan kekeliruan dan kekecewaan yang amat besar pada diri mereka.

Sehubungan dengan itu, penderaan kanak-kanak merupakan fenomena yang serius yang memberikan kesan buruk kepada individu tersebut. Penderaan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas adalah sesuatu yang sangat-sangat tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja. Golongan OKU terutamanya kanak-kanak OKU sewajarnya diberikan perlindungan dan ruang pendidikan yang inklusif selaras dengan tuntutan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Justeru itu, PROGRAM KUNJUNGAN KASIH dilaksanakan di Pusat Jagaan Rumah Amal Daerah Yan, Kedah tepat pada 12 Januari 2023, bermula dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari. Objektif bagi program ini adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada golongan orang kurang upaya tentang bentuk penderaan, mengajar golongan OKU tentang cara-cara untuk mempertahankan diri apabila menghadapi situasi penderaan, memberi keadilan kepada golongan OKU untuk mendapatkan hak perlindungan mereka sebagai golongan tidak berupaya serta meningkatkan keyakinan golongan OKU untuk memberanikan diri memberitahu sekiranya menjadi mangsa penderaan. Program ini akan disertai oleh 10 orang pelajar Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) sebagai fasilator dan seramai 26 pelajar dari Pusat Jagaan Amal.

Menurut Pengarah Pusat Jagaan Amal,beliau amat berbesar hati atas kesudian UUM memilih Pusat Jagaan Amal sebagai tempat berprogram. Menurut beliau golongan OKU sering dipinggirkan dan dengan adanya penglibatan pelajar UUM disini, ia akan menambah kegembiraan warga disini. Untuk rekod, pelajar Pusat Jagaan Amal yang paling tua adalah 40 tahun.