All News

SOG KOMITED MEMPERKUKUHKAN JALINAN GLOBAL 2024

Image

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Seramai 46 pelajar dari Universitas 17 Agustus 1945 (UNTAG), Semarang, Indonesia telah menyertai “International Inbound Mobility: Institutional Study Programme” mulai 19 Februari hingga 3 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada mahasiswa S2 bagi Program Sarjana Pentadbiran Awam (MAP), Fakultas Sosial dan Sains Politik (FISIP) dan Sarjana Pengurusan (MM), Fakultas Ekonomi dan Perniagaan.

Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan kembali hubungan antarabangsa yang telah sekian lama terjalin di antara kedua-dua buah universiti (UNTAG dan SOG).

Menurutnya, program mobiliti ini bukan sahaja bergerak seiring dengan agenda pengantarabangsaan universiti, bahkan ia juga menjanjikan pengalaman bermakna buat kesemua pelajar sarjana yang hadir.

“Buktinya, salah satu pengisian program yang diatur adalah sesi perbincangan interaktif antara peserta program telah pun berjaya dilaksanakan.

“Bertemakan “Development Planning Public Policy in Malaysia”, perkongsian ilmu dan amalan baik yang dipraktiskan di Malaysia telah membuka mata dan mencambah minda mereka untuk melihat dunia dari perspektif yang berbeza, menghargai kebudayaan dan cara hidup yang baru, meraikan kepelbagaian dan perbezaan serta memahami pelbagai isu global yang relevan,” katanya.

Dekan Fakultas Sosial dan Sains Politik, Prof. Dr. Dra Rini Werdiningsih selaku ketua delegasi dari UNTAG turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak SOG UUM di atas kesudian menerima dan menyantuni kunjungan mereka di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) bagi menjayakan program mobiliti ini.

Beliau amat terharu dengan sambutan yang diberikan serta berharap agar banyak lagi bentuk kerjasama yang dapat dilakukan selain daripada aktiviti pertukaran pelajar dan pensyarah seperti di dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (jemputan sebagai pensyarah pelawat), penyelidikan (matching grant), penerbitan (penulisan artikel bersama) dan perundingan.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, kehadiran UNTAG ke UUM membuka lembaran baharu bagi kerjasama strategik yang akan dilaksanakan antara kedua-dua institusi.

Menurutnya, aktiviti promosi bagi program Doktor Falsafah turut dimanfaatkan sebaiknya memandangkan peserta yang hadir kesemuanya terdiri daripada mahasiswa di peringkat Sarjana.

Turut sama hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Program Pasca Siswazah SOG, Dr Nur’Jila Mohammad serta enam pensyarah UNTAG.

Berita dan gambar Dr. Farahiyah Fadzil