All News

Jerayawara BPPK demi kelangsungan pencapaian prestasi cemerlang di 18 pusat pengajian UUM

Image

Oleh Muhamed Nor Azman Nordin/UUM Today

SINTOK, 21 Mac – Menyedari peri pentingnya peranan pelan strategik universiti berserta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam memacu sesebuah organisasi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengatur sesi khas bersama 18 buah pusat pengajian, baru-baru ini.

Pengarah BPPK, Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, menjadi tanggungjawab BPPK untuk memastikan segala petunjuk prestasi dicapai dengan sebaiknya demi mencapai objektif utama UUM iaitu menjadi “Universiti Pengurusan Terkemuka” (The Eminent Management University).

Sesi yang berjalan dalam suasana santai dan interaktif ini dimulai dengan perkongsian mengenai profil pusat pengajian (PP) serta isu dan cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan dalam mencapai sasaran bagi setiap petunjuk prestasi mengikut teras.

Sesi diteruskan dengan pembentangan dari Pengarah BPPK mengenai pelan strategik berkisar tentang hala tuju serta agenda yang harus dilaksanakan dalam tahun 2024 diikuti dengan agenda penarafan QS dan THE Rankings.

Sebagai refleksi kepada isu dan cabaran oleh pusat pengajian, Dr. Mazni telah menunjukkan hasil SWOT analisis berdasarkan prestasi pencapaian terdahulu yang diharap dapat memberi input kepada pihak pengurusan pusat pengajian dalam mengatur strategi bagi tahun 2024.

Turut diselitkan dalam sesi perkongsian ini ialah peranan BPPK dalam mengurus serta pelaporan data di tiga peringkat iaitu universiti, kebangsaan serta antarabangsa. Teras operasi di peringkat universiti lebih bertumpu kepada pelan strategik manakala di peringkat kebangsaan, pengurusan dan pelaporan data bertumpu kepada agenda MyMOHES​, SETARA​, SBSyS, OBB, RMKe-12 serta KPI Kementerian. Di peringkat antarabangsa pula, BPPK berperanan dalam pelaporan data untuk penarafan QS dan THE Rankings.

Adalah diharapkan bahawa sesi ini dapat menjadi pemangkin bagi pusat pengajian untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha meneruskan pencapaian cemerlang UUM.